2010/09/05
JAKARTA: Organisasi Islam terbesar di Indonesia Nahdlatul Ulama (NU) menegaskan bahawa hubungan persaudaraan antara Indonesia dan Malaysia adalah terlalu kuat untuk dirosakkan oleh kepentingan ego individu.
"Kalau berlaku konflik, yang akan rugi kita sendiri. Orang lain atau pihak-pihak yang tidak suka dengan dengan persaudaraan kita, akan mengambil manfaat dari itu," kata Ketua Dewan Syura NU Pusat, Kyai Haji Masdar Farid Mas’udi. "Walaupun pihak-pihak berkenaan itu pada awalnya tak mempunyai niat sedemikian, namun jika Indonesia dan Malaysia menjadi lemah, mereka akan ambil manfaatnya," katanya. Beliau mengulas ketegangan yang berlaku antara Indonesia dan Malaysia berikutan insiden yang berlaku di kawasan sempadan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Pulau Bintan di kepulauan Riau pada 13 Ogos lalu.
Dalam insiden itu, tujuh nelayan Malaysia ditahan oleh bahagian penguat kuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia manakala Polis Marin Malaysia pula dikatakan menahan tiga pegawai penguat kuasa kementerian tersebut atas kesalahan menceroboh wilayah perairan negara masing- masing.
Pihak berkuasa kedua-dua negara telah membebaskan mereka yang ditahan pada 17 Ogos lalu, namun beberapa kumpulan aktivis masyarakat Indonesia mengadakan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi menuntut supaya Malaysia meminta maaf di atas tindakannya itu dan mendesak kerajaan Indonesia supaya bertindak tegas terhadap Malaysia dalam soal menjaga kedaulatan wilayah Indonesia.
Masdar berkata Malaysia dan Indonesia mempunyai begitu banyak persamaan seperti dari segi etnik, bahasa dan agama.
"Hubungan kedua-dua negara ini sudah seperti abang-adik, sehingga sering terlibat berkelahi perang mulut, namun ia hanya akan berlangsung sebentar saja.
”Mungkin justru terlalu dekat jadi semacam ada keberanian untuk saling mengganggu. Kalau orang jauh yang tidak punya kedekatan, tidak akan seperti itu.
”Namun meskipun sering bertengkar, kita tidak akan terjerumus pada konflik yang serius,” katanya.
Dari kacamata seorang rakyat Indonesia, Masdar menyifatkan sikap Malaysia yang sering disebut sebagai merendahkan Indonesia, perlu dijadikan sebagai satu motivasi agar Indonesia makin memajukan diri dari segala aspek.
"Kerana pada kenyataannya, Indonesia kaya dengan pelbagai sumber daya alam, dan negara yang lebih besar namun ia masih tertinggal.
”Setiap muncul masalah, kami tidak terlalu khauatir. Boleh dikatakan ada sedikit ketegangan tetapi kami tidak ambil pusing. Saya kira ini untuk memotivasi pemimpin Indonesia untuk lebih menata diri, memperkuat daya saing bukan untuk menggagahi orang lain," katanya.
Beliau turut menyoroti semangat perpaduan yang wujud dalam Asean yang boleh dicontohi dalam melayari hubungan baik antara kedua-dua pihak. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment