Allah s.w.t berfirman:
Seakan-akan ayat memberikan peringatan bahawa Allah s.w.t ketika ingin menyuruh orang beriman beramal, pada mukadimahnya Allah s.w.t sendiri yang mendirikan amalan tersebut kemudian barulah Dia memerintahkan orang lain.
Umumnya Allah s.w.t secara langsung menujukan firmanNya kepada orang beriman sebagaimana dalam firman-firman yang lain:
Wahai orang yang beriman (يا أيها الذين أمنوا) dirikanlah sembahyang (َأَقِيمُواْ الصَّلاَةَ) - Al-Baqarah ayat 43, Wahai orang beriman, janganlah kamu berkata apa yang tidak kamu ketahui, (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لِمَ تَقُولُونَ مَا لَا تَفْعَلُونَ), demikianlah berpuluh-puluh ayat yang diawali kata-kata fokus secara langsung kepada orang beriman.
Di antara ayat-ayat yang jarang ditemui dalam al-Quran, kita dapati Allah s.w.t ketika mana menyuruh orang beriman melakukan amalan, kita dapati Allah s.w.t mula-mula yang memukaddimahkannya terlebih dahulu, setelah itu menyuruh orang beriman melakukan amalan ini,
Selanjutnya kita dapati ayat suci yang mulia ini menyuruh orang beriman melakukan selawat!
Kalau kita pehatikan ayat-ayat yang lain, nescaya kita dapati ayat ini menyentuh tentang tauhid, membimbing kita ke arah hakikat diriNya sebagaimana firman dalam surah Al Imran ayat 18:
Jadi kita dapati urutan betapa pentingnya selawat sehingga kronologi, Allah s.w.t terlebih dahulu berselawat ke atas Nabi, kemudian disusuli para malaikat, setelah itu barulah perintah melakukannya bagi orang beriman.
Bersambung…
Pengertian hakikat selawat (2)
Dari segi ilmu nahu, ayat selawat tidak didatangkan dengan fiʽil Mādhi (past tense), namun fiʽil Muḍāriʽ (present tense):
إِنَّ الله وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النبي
iaitu membawa maksud kesinambungan ungakapan selawat dalam ibadah dan kehidupan sehari-hari. Selain itu selawat membawa pengertian beberapa noktah penting seperti berikut:
1) bahawa selawat menunjukkan ketinggian urusan Nabi
2) tidak sepatutnya orang lain mendahului baginda dalam kepimpinan berbanding makhluk yang lain.
Ayat berikutnya datang dengan sighah Amar, iaitu perintah “berselawatlah ke atas baginda. Ianya menunjukkan bahawa hukum selawat itu wajib.
Maka timbullah persoalan asasi dalam ayat tersebut, apakah Nabi memerlukan selawat? kenapa kita diwajibkan berselawat?
Hendaklah kita menghindarkan diri dari bertanya persoalan pertama kerana kita tidak berhak mempertikaikan hukum Allah, namun bagi menjawabnya secara berilmiyah ianya memerlukan pengertian kepada 2 noktah penting yang telah disebutkan sebelum ini. Bagi soalan kedua, Imam Zainal Abidin (a.s) dalam Sahīfah Al-Sajjadiyah menegaskan seperti berikut:
اللهم إنك أمرت بالصلاة والتسليم على نبيك محمد صلى الله عليه وآله فريضة منك واجبة
Dari sini datangnya ijma’ di kalangan ulama Syiah bahawa selawat adalah wajib di mana sahaja bumi kita berpijak, tidak terhad hanya dalam tahiyat semata-mata. Pun begitu terdapat perselisihan di kalangan sebahagian ulama Ahli Sunnah tentang perihal kewajipan selawat ini.
Menurut mazhab Abi Hanifah, selawat tidak wajib, dalam kitab Al-Baḥr Al-Zākhir Li Ibnu Najīm menyatakan bahawa:
وأما موجب الأمر في قوله تعالى { صلوا عليه } فهو افتراضها في العمر مرة واحدة في الصلاة أو خارجها ; لأن الأمر لا يقتضي التكرار
البحر الرائق شرح كنز الدقائق، علامة زين الدين ابن نجيم الحنفي، ناشر دار الكتاب الاسلامي، القاهرة، جزء الاول، كتاب الصلاة، باب صفة الصلاة، سنن الصلاة، صفحة 320
bersambung…
Pengertian hakikat selawat (3)
Imam Syafiʽī menjadikan selawat sebagai syarat, bahkan tidak sah solat tanpa selawat. Sebahagian daripada mereka berargumen bahawa selawat ke atas nabi dalam solat adalah wajib secara ijmaʽ
Sebagaimana yang telah disebutkan bahawa selawat datang dengan ṣighah Amar dan Muḍāriʽ yang membawa maksud kesinambungan dan penerusan amalan. Kenapa pula masih ada yang menafikan kewajipan bahkan sebahagian menyatakan selawat hanya wajib satu kali seumur hidup, sehingga yang lain pula menegaskan solat menjadi batal tanpa selawat. Semua ini akan dibahaskan dalam tulisan ini nanti.
Dalam Sahih al-Bukhari Kaʽab bin ʽUjrah berkata, kami bertanya kepada Nabi:
فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ الصَّلاَةُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الْبَيْتِ فَإِنَّ اللَّهَ قَدْ عَلَّمَنَا كَيْفَ نُسَلِّمُ . قَالَ « قُولُوا
اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ
Untuk masuk ke dalam perbahasan ini perlu diketahui apa makna Allah berselawat ke atas seseorang.
Selawat dalam makna istilah itu ialah ‘selawat’ ialah:
وسُمِّيت الصلاةُ المخصوصة صلاةً لما فيها من تعظيم الرَّبِّ تعالى
لسان العرب ج: 14 ص: 466
Inilah dia maksud selawat yang menjadi amalan kita siang dan malam. Namun dari segi bahasa ketika kita berkata selawat yang berasal dari perkataan ‘solat’, maka ia membawa makna ‘doa’.
وأَصلُها الدعاءُ في اللغة
لسان العرب ج: 14 ص: 466
Apa maksud Allah s.w.t dan para malaikat berselawat ke atas seseorang?
Terdapat riwayat dari kedua-dua firqah, Syiah dan Sunni yang menyatakan "إنزال الرحمة عليه" iaitu penurunan rahmat ke atasnya. Dalam kitab Thawāb Al-Aʽmal, Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib ketika ditanya tentang selawat, beliau menjawab:
حين سُئل عن ذلك فقال : صلاة الله رحمة من الله له
ثواب الأعمال : 187 / 1
Begitu juga dalam kitab Maʽāni Akhbar:
فقال : الصلاة من الله عز وجل رحمة
معاني الأخبار : 367 / 1، ثواب الأعمال : 156
Kitab Ahli Sunnah Wal Jamaah juga memuatkan makna selawat sebagai rahmat:
وَقَالَ الْمُبَرِّد : الصَّلَاة مِنْ اللَّه الرَّحْمَة
فتح الباري ج: 18 ص: 137
Al-Mubarrid berkata: Selawat daripada Allah ialah rahmah
Al-Azhari berkata: Selawat ini menurutku ialah rahmat
قال الأَزهري هذه الصَّلاةُ عندي الرَّحْمة
لسان العرب ج: 14 ص: 464
ابن الأَعرابي الصلاةُ من اللهِ رحمةٌ
لسان العرب ج: 14 ص: 464
Bukan bermakna Allah mengambil tasbih dengan tanggannya dan menghitung selawat, tidak! bukan begitu. Dalam perkara laknat pun begitu juga.
Bersambung.....
Pengertian hakikat selawat (4)
Namun sebelum kita berpindah ke perbahasan asal ini, adalah lebih baik kita ambil perhatian terhadap noktah penting ini, dan janganlah kita lupa bahawa ayat selanjutnya menyatakan:
وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
“Dan sampaikanlah salam yang sebenar-benar salam”?
Apakah makna sampaikanlah salam dengan sebenar-benar salam? Biasanya yang difahami dari ayat tersebut ialah ‘salam’. Kerana itu ketika nama Nabi s.a.w disebut maka kita akan menyusulikan lafaz:
صلى الله عليه وآله وسلم
kalau begitu di sini kita mengambil taslīm dalam ayat tersebut sebagai makna salām, yang bermaksud:
السلام عليك يا رسول الله
“Salam ke atasmu wahai Rasulullah”
Inilah yang difahami oleh Ahli Sunnah Wal Jamaah. Namun ketika kita merujuk kepada hadis-hadis Syiah dalam tafsir ayat ini, maka kita dapati antaranya ialah hadis berikut:
سألت أبا عبدالله الصادق عليه السلام عن قول الله عزل وجل إِنَّ الله وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ، قال عليه السلام: الصلاة عليه والتسليم له في كل شيءٍ جاء به
Aku bertanya kepada Aba Abdillah, Imam Jaafar Al-Sādiq a.s tentang firman Allah ‘Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat’. Jawab imam Jaafar: Ianya ialah selawat ke atas baginda, dan kepatuhan dalam setiap yang dibawa baginda. - Tafsir al-Burhan, Sayid Hashīm Al-Baḥrānī.
Apakah Imam a.s menafsirkan ‘taslīm’ sebagai salam atau kepatuhan? Jelas perbezaan besar kalau kita katakan makna ‘wa sallimū taslīmā’ sebagai ‘Salam ke atasmu’ (السلام عليك)/ ucapkanlah salam dengan penghormatan yang sepenuhnya’ dengan maknanya sebagai “patuhilah Rasul s.a.w dengan sebenar-benar kepatuhan’, atau tafsir dengan ayat al-Qur’an yang lain:
وَمَا آتَاكُمُ الرسول فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانتَهُوا
“Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarangNya kamu melakukannya maka patuhilah laranganNya.”
Oleh itu ayat tersebut bukanlah perintah memberikan salam kepada Rasulullah s.a.w setelah perintah selawat. Namun Allah s.w.t menyuruh kita berselawat ke atas Nabi s.a.w, kemudian apa yang perlu dilakukan oleh orang beriman? yang perlu dilakukan ialah taatilah Nabi s.a.w. Oleh itu wajiblah bagi orang beriman agar mematuhi segala yang dibawa oleh baginda.
Hadis ke-dua dari kitab tafsir, daripada Amīrul Mukminīn Ali bin Abi Talib a.s, dalam firman:
إِنَّ الله وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النبي يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
ولهذه الآية ظاهر وباطن فالظاهر قوله : " صلوا عليه " والباطن قوله : " وسلموا تسليما" أي سلموا لمن وصاه واستخلفه، وفضله عليكم، وما عهد به إليه تسليما،
Ayat ini mempunyai makna zahir dan batin. Makna zahirnya ialah: patuhilah orang yang menjadi waṣī, yang menggantikan baginda, yang dilebihkannya ke atas kamu, dan kamu semua hendaklah mematuhi dengan sebenar-benar kepatuhan.
Ianya membawa makna kepatuhan dengan bersungguh-sungguh terhadap apa yang disampaikan oleh baginda mengenai wīlāyah Ali bin Abi Talib a.s.
Oleh itu ayat ini dari satu sisi membawa penerangan bahawa wajib ke atas kamu berselawat, setelah selawat samada ‘memberi salam ke atas baginda dengan sebenar-benar salam’ atau ‘mematuhi dengan sebenar-benar kepatuhan’. Yang mana satu benar di antara kedua-duanya?
Dari asas ini, hendaklah kita katakan, seandainya ‘sallim’ dan ‘taslīm’ ke atas Nabi s.a.w itu bermakna ‘memberikan salam’, apakah Allah s.w.t memberikan salam ke atas baginda dalam ayat sebelumnya atau tidak?
Dalam al-Qur’an Allah s.w.t hanya berselawat! Maka ayat ‘wa sallim’ itu menyusul padahal tidak disebut Allah memberikan salam. Pun begitu masih ada golongan yang mengambil makna ‘taslīm’ sebagai ‘memberi salam’.
Terbayang difikiran kita sebahagian saudara-saudara mengambil makna ‘sallim’ sebagai memberikan salam. Sedangkan terdapat banyak riwayat daripada para imam Ahlul Bait a.s yang menerangkan bahawa makna ‘salām’ dalam ayat ‘وسلموا’ bukan bermakna ‘sampaikanlah salam’, iaitu:
السلام عليك يا رسول الله
Bahkan sebenarnya ‘Patuhilah baginda dan patuhilah apa sahaja yang disampaikan baginda.
Antara yang perkara penting yang disampaikan oleh baginda ialah wasiat kekhalifahan Amīrul Mukminīn Ali bin Abi Talib a.s, maka inilah masalah asasi. Imam Ali a.s dikatakan mempunyai tafsir zahir dan batin.
Kerana itu tatkala anda merujuk pada kalimah para penyelidik di kalangan ulama yang teliti, nescaya ditemui perkara ini dalam kitab-kitab mereka tidak berkata:
صلى الله عليه وآله وسلم
Tetapi mereka berkata:
صلى الله عليه وآله
Apakah mereka menambah ‘وسلم’? tidak! mereka tidak menambahnya.
Bersambung...
No comments:
Post a Comment